Thursday, July 15, 2010

400 sertai Sukum

Oleh Anuar Asmadi

2010/06/11


SERAMAI 400 peserta yang mewakili Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak akan menyertai Kejohanan Sukan Antara Staf IPTA (Sukum), di Universiti Sains Malaysia (USM) dari 16 hingga 26 Jun ini.
Sukum edisi ke-35 itu menawarkan 28 acara, termasuk lima sebagai pertunjukan. Acara itu ialah paintball lelaki dan wanita, senamrobik lelaki dan wanita dan beberapa acara khas untuk orang kurang upaya (OKU).


Penyelaras Urus Setia Sukum, Rodzuan Yahya, berkata kebanyakan acara berlangsung di kampus induk di Batu Uban, manakala futsal dan boling di luar kampus.


Acara dipertandingkan ialah bola sepak senior dan veteran, sepak takraw senior dan veteran, badminton campuran, bola jaring senior, tenis campuran, futsal lelaki senior dan veteran, futsal wanita, bola tampar lelaki dan wanita serta boling padang lelaki dan wanita.


Lain-lain acara ialah ping pong campuran, hoki lelaki, olahraga senior, wanita dan veteran, dart, karom, tarik tali lelaki, tenpin boling lelaki dan wanita.


“Sebagai tuan rumah, kami akan berusaha menyusun program sepanjang 11 hari supaya ia berjalan lancar,” katanya.


Menurutnya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, akan merasmikan karnival tahunan itu dalam upacara penuh warna-warni.


Rodzuan berkata, tahun ini burung helang dipilih maskot kejohanan sebagai lambang dan identiti USM. Katanya, spesis itu masih terdapat dalam kampus dan ia burung yang pintar, pantas dan gagah.


“Sebab itulah kami kaitkan burung jenis itu dengan kecemerlangan atlit yang akan mengharungi cabaran sepanjang kejohanan itu nanti,” katanya.


Untuk keterangan lanjut, hubungi Unit Sukan USM atau Rodzuan Yahya di talian 019-2696755.

No comments: