Thursday, July 15, 2010

21 kontinjen bersaing





SEBANYAK 21 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia kali ke-35 (Sukum ke-35) yang dijadualkan berlangsung di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 16 hingga 26 Jun ini, lapor ZAKI SALLEH.

Daripada jumlah itu, 20 pasukan terdiri daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) manakala satu pasukan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Dianggarkan 3,000 pegawai dan atlet akan bersaing dalam 24 acara sukan termasuk olahraga bagi merebut 63 pingat emas di 13 venue pertandingan termasuk di Stadium Olahraga USM.

Selaku tuan rumah, USM menghantar kontinjen terbesar seramai 329 atlet dan pegawai bagi menyertai semua acara diikuti kontinjen dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) seramai 275 orang.

USM menerusi Jawatankuasa Penyeliaan Atlet sejak Januari lalu giat mengadakan saringan dan latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan sukan yang disertai kaki- tangan akademik dan pengurusan itu.

Menurut Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Prof. Datuk Omar Osman, seramai 580 staf dan pelajar USM pula akan bertindak sebagai pembantu acara sepanjang kejohanan itu.

"USM gembira menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah kali ini dan memilih Lang Merah sebagai maskot kejohanan.

"Saya enggan meletak sasaran pingat. Bagaimanapun, saya optimis USM mampu mencipta kemenangan dalam acara yang disertai seterusnya membaiki kedudukan berbanding pada kejohanan lalu," ujarnya.

Omar memberitahu, Sukum ke-35 bakal menyajikan pelbagai acara termasuk bola sepak, futsal, badminton, hoki, bola jaring, sepak takraw, tenpin boling dan tarik tali.

Kelmarin, beliau menerima penyerahan cek tajaan daripada Siemens Healtcare Sdn. Bhd. dan Geliga Sistem Sdn. Bhd. bagi menjayakan kejohanan tersebut.

Mengulas lanjut, Omar turut menjelaskan, buat julung kali- nya juga USM memperkenalkan tema Sukan Hijau (Green Game) pada edisi Sukum tahun ini bagi melestarikan kehijauan alam sekitar.

Jelas beliau, antaranya ialah dengan mengurangkan pembuangan botol minuman plastik serta melarang penggunaan bekas makanan polisterina, sebaliknya digantikan dengan bekas minuman yang boleh diguna semula.

"Dalam usaha mewujudkan kesedaran di kalangan atlet, kita galakkan pasukan yang bertanding bawa bekas air minuman serta cawan termasuklah pek makanan yang lebih mesra alam.

"Bagaimanapun, USM tidak menjadikan ia sebagai syarat pertandingan, sebaliknya kita fokuskan usaha Sukan Hijau menerusi kempen-kempen sepanjang kejohanan," ujarnya.

No comments: